KERUNTUHAN DAULAH TURKI UTHMANIYAH


Assaloamualaikum….

Insya’Allah kali ini ana ingin bkongsi sdikit fakta sejarah kpd semua pelawat ihsasulfikri.wordpress.com berkaitan dgn fakta keruntuhan Daulah Islamiyah yg sepatutnya menjadi benteng umat Islam. Jika diperhati artikel2 ana sblm ini byk ajakan ana agar bersama2 mengembalikan Daulah Islamiyah. Sedikit persoalan berkaitan ‘bilakah Daulah runruh dan bagaimana ia boleh runtuh’ menjadi tnda tya kpd kita…juga persoalan bagaimanakah proses utk mengembalikan negara Islam ini dan apakah yg patut ada pada ngra dan bagaimanakah proses perlantikan seorg pemimpin Islam(Khalifah) akan menjadi tanda tanya yg sgt kuat kpd mereka yg mengkaji…tetapi fokus ana pada hari ini ialah menceritakan fakta2 Keruntuhan Daulah Turki Uthmaniyah.

Dua objektif pada topik ana pada hari ini ialah :

  1. Menerangkan sebab-sebab kelemahan umat Islam pada era Turki Uthmaniyyah.
  2. Memberi gambaran apa yang berlaku beberapa tahun sebelum keruntuhan Turki Uthmaniyyah iaitu peranan Mustapa Kamal Attarturk dan British.

Lembaran sejarah umat Islam telah melakarkan kegemilangan dan kecemerlangan sejak zaman-berzaman. Apakah bentuk-bentuk kejayaan tersebut?

Ikhwan sekalian,ingatkah kita bahwa Madinah ialah negara Islam pertama?sistem sebagaimana masa kenabian yg mana pembukaan Kota Makkah dan menggegarkan negara besar seperti Rom dan Parsi diteruskan pada zaman Khulafa’ Arrashiddin yg mana membebaskan Iraq, Mesir dan Syam. Sistem Islam tidak berakhir pada pemerintahan Saidina Ali sahaja tetapi diteruskan pada Khalifah Bani Umayyah. Fuh,sungguh bangga kita umat Islam apabila mendengar cerita2 pada zaman ini di mana adanya pemimpin yg sungguh hebat seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Di zaman ini juga Islam memayungi 2/3 dunia.Subhanallah…

Sekiranya Bani Umayyah terkenal dgn pembebasan bumi Islam, Bani Abbasiyyah pula terkenal dgn Tamadun Islam. Pendidikan,politik,ekonomi dan pelbagai aspek kita dapat pelajari pada zaman ini.Kemakmuran ekonomi dan budaya keilmuan berkembang mekar di kalangan umat.

Tampuk pemerintahan kemudiannya beralih kepada Turki Uthmaniyyah, yang terkenal dengan kecanggihan dan keteguhan dari segi ketenteraannya. Kemuncak kegemilangan ini diwarnai dengan pembukaan kota Constantinople seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah saw.

Persoalannya sekarang, bagaimana sebuah tamaddun – yang begitu kuat, berpengaruh serta makmur selama 13 abad – menjadi begitu mundur, tertindas, dan hina malah kebanyakannya tersenarai dalam negara dunia ketiga? Apakah sebenarnya yang menjadi punca segala kemunduran ini?

 Ia boleh diketegorikan kpd dua iaitu faktor dalaman dan faktor luaran…

Faktor dalaman…

  1. Pengabaian Bahasa Arab – Hingga berakhirnya masa Khilafah Abbasiyah, Islamisasi selalu seiringan dengan “arabisasi”. Bahasa Arab klasik sebagai bahasa Qur’an, menjadi bahasa internasional, bahasa silaturahmi ummat Islam, dan bahasa ilmu pengetahuan. Namun, pada masa Khilafah Utsmaniyah, tradisi itu ditinggalkan, konon agar Islam lebih mudah “diserap” tanpa barier bahasa Arab. Akibatnya di negeri-negeri yang belum berbahasa Arab, bahasa Arab menjadi “hak istimewa” selapis kecil elit terpelajar saja, sedang bagi ummat, khazanah ilmu dalam bahasa Arab, menjadi tertutup.  Kitab-kitab Arab menjadi “kitab rahsia” yang suci dan kalimat-kalimat Arab hanya menjadi mentera-mentera sakti (e.g. dalam aktiviti menghalau hantu).
  2. Kurangnya ijtihad dan kemunduran daya berfikir – Ketika bahasa Arab terabaikan, ijtihad tidak bisa lagi dikerjakan dengan cukup, sedangkan setiap hari umat Islam berhadapan dengan benda-benda baru yang perlu penjelasan daripada syarak. Hanya melalui ijtihad sajalah perkara-perkara yang baru ini dapat dijelaskan kedudukan hukumnya. Sedangkan ijtihad hanya bisa dikerjakan dalam bahasa Arab klasik, agar seorang mujtahid bisa benar-benar memahami sumber-sumber syar’i.  Akibatnya, mundurnya proses ijtihad menyebabkan daya berfikir umat Islam juga mundur. Contohnya, ketika era kemunduran ini, sesetengah ulama mengharamkan penggunaan ‘speaker dan microphone’ yang dicipta di Barat kerana menganggap suara yang keluar daripadanya ialah suara syaitan. Kemunduran daya berfikir umat Islam telah membawa umat tertinggal jauh di belakang daripada Barat dalam aspek sains dan teknologi sehingga Dunia Islam dikejutkan dengan Revolusi Industri di Barat.
  3. Kemasukan pemikiran-pemikiran asing – sejajar dengan berkembangnya sempadan Islam, umat telah bertembung dengan pemikiran masyarakat setempat seperti falsafah Yunani, Mesir, Parsi dan India. Masyarakat Islam setempat itu tidak membuangkan falsafah-falsafah ini daripada pemikiran mereka malah meng’Islam’kan falsafah ini sehingga fikrah Islam dicemari dan bercampur-campur dengan pemikiran bukan Islam. Akhirnya, fikrah-fikrah Islam pada diri umat Islam sudah manjadi semakin kabur dan lemah (e.g. hak kebebasan, majoriti sebagai tolok ukur kebenaran, persandingan pengantin, kenduri arwah pada hari tertentu, ayat al-Quran sebagai azimat untuk melawan hantu dan sebagai ayat pengasih dll).
  4. Perpecahan di kalangan umat Islam– disebabkan sempadan Daulah Islam ketika empayar Islam Uthmaniyyah terlalu besar (1/3 dunia) sehingga khalifah tidak mampu mengawal kesemuanya dengan teknologi yang ada pada ketika itu. Kekuasaan khalifah menjadi longgar dan muncul Sultan-sultan di setiap wilayah Islam (seperti Sultan di Arab Saudi, Jordan, Delhi). Kekuatan umat Islam mula tidak bersatu dan terpecah-pecah. Umat Islam pula memikirkan tanggungjawab mereka atas penderitaan ummat di wilayah lain tinggal hanyalah sebatas pada doa dan sedekah yang tidak seberapa. Ini memudahkan sentimen nasionalisme (e.g. Semangat Turki, KeAraban, India, dsb) mulai menyerap masuk di kalangan umat dan menyemarakkan lagi perpecahan dunia Islam. Akhirnya, wilayah-wilayah Islam merasakan mereka dijajah oleh Khalifah Turki kemudian memerdekakan (memisahkan) diri mereka daripada Daulah Islam.

Faktor luaran…

  1. Ancaman ketenteraan oleh musuh Islam khususnya Barat – daulah Islam sentiasa mempunyai musuh daripada pihak kufar. Negara-negara Kufar seperti Rusia, Britain dan Perancis adalah musuh ketat Daulah Islam Turki. Mereka sentiasa mencari jalan untuk mengalahkan kuasa Islam. Mereka sentiasa berperang dengan umat Islam mulai Perang Salib sehingga Perang Dunia Pertama di mana kekalahan Daulah Islam Turki mengakibatkan wilayah-wilayah Islam dipecah-pecahkan dan diserahkan kepada mereka.
  2. Konspirasi politik dan kebudayaan – Setelah gagal melalui Perang Salib, musuh Islam menyerang dari segi politik dan kebudayaan. Misionari telah dihantar ke dalam Daulah untuk menyebarkan idea-idea asing serta sentimen nasionalisme. Idea sekular pula disuntik melalui golongan yang menerima pendidikan Barat. Gerakan Freemason juga bergiat gigih dalam menjatuhkan Daulah daripada dalam. Agen-agen Barat seperti Midhat Pasha dan Kamal Attarturk telah menyelinap masuk ke dalam pentadbiran Khilafah dan diberi jawatan-jawatan penting seperti Ketua Menteri (Midhat Pasha) dan Kolonel Tentera (Kamal Attarturk). Agen-agen ini berpakat dengan Barat terutama Britain memaksa Khalifah menerima pakai perlembagaan dan undang-undang sekular dan membuang hukum-hukum Islam termasuk hudud.
  3. Kebangkitan puak Nasionalis dan Sekular – Kaum Muda Turki berjaya menyebarkan pengaruh mereka. Di samping itu, pengaruh Kemal Atarturk juga memainkan peranan. Dengan bantuan British, Kemal berjaya menjadi ’hero’ Perang Dunia Pertama dan meraih sokongan umat. Dalam masa yang sama, British juga membantu pejuang Nasionalis Arab pimpinan Syarif Hussain memberontak terhadap Turki Uthmaniyah.

Kita selalu diceritakan bahawa Kejatuhan Daulah Islam Turki disebabkan umat Islam terlalu jauh dengan Islam, pentadbiran Daulah dipenuhi dengan rasuah dan korupsi dan Khalifah suka berfoya-foya. Apakah ini benar? Adakah begitu mudah Daulah Islamiyyah Turki ditukar dengan Republik Turki? Apakah sebenarnya terjadi ketika kejatuhan Daulah Islam Turki Uthmaniyyah sehingga berlakunya revolusi kemudian ia menjadi Republik Turki?

Detik-detik kejatuhan Khilafah Turki-Uthmaniyyah.

 Walaupun Dunia Islam berada dalam keadaan lemah disebabkan oleh faktor dalaman dan luaran seperti yang dijelaskan tadi, tetapi umat Islam masih meyakini bahawa syariah Islam adalah sebagai teras kehidupan, Khilafah ialah sistem negara Islam dan Khalifah sebagai ketua negara. Jadi, mereka mestilah mempertahankan Khilafah Islam sebagai negara mereka. Kejatuhan negara Islam ini berpunca daripada konspirasi Barat melalui agen-agennya yang beragama Islam tetapi berpegang teguh kepada pemikiran Sekular Barat. Pada akhir abad ke-19, sekitar 1870an, Midhat Pasha pada ketika itu sebagai ’Grand Vazier’ (seperti ketua menteri) telah memperkenalkan perlembagaan sekular yang ditiru dari perlembagaan Belgium. Perlembagaan ini menerangkan adanya parlimen untuk mewujudkan undang-undang baru dan sistem Demokrasi diterapkan manakala sistem Khilafah Islam mesti diketepikan. Walaupun perlembagaan ini mendapat tentangan daripada Khalifah Sultan Abdul Hamed II pada ketika itu, namun akhirnya selepas pemecatan Abdul Hamed pada 1908 melalui konspirasi politik,  ia diterapkan berserta undang-undang Perancis. Para ulama juga telah mengeluarkan fatwa memboleh menerima undang-undang Barat kerana berpendapat ia tidak bertentangan dengan Islam. Ini menyebabkan institusi Khilafah bertambah lemah, umat Islam semakin jauh daripada Islam kerana kehidupan mereka diatur oleh sistem Barat bukan hukum-hukum Allah lagi. Walau bagaimanapun, institusi Khilafah masih wujud lagi pada ketika ini.

 

Kemudian, pada 1915, muncul nama Mustapha Kamal Beik (Mustapa Kamal Attarturk) di Turki. Kamal hanyalah merupakan pegawai tentera yang biasa dan tidak terkenal tetapi mempunyai pemikiran sekular. Semasa peperangan di Ana Forta pimpinannya, ketika itu dia merupakan Kolonel yang memimpin satu division ketenteraan, Turki sedang berperang dengan British iaitu sebuah kuasa tentera yang sangat besar. Dalam senyap, Kamal telah berpakat dengan British, kemudian British telah mengundurkan tenteranya. Dengan pengunduran British ini, bermakna tentera Kamal telah menang dan nama Kamal pun diangkat sebagai wira negara. Dari situ pengaruh Kamal dan gerakan pimpinannya, Gerakan Turki Muda menjadi semakin besar dan penting dalam pentadbiran Turki. Sejak itu, Mustapa Kamal diberi tugas-tugas penting dalam peperangan namun malangnya, bukan peperangan yang berlaku tetapi perjanjian damai dengan musuh Islam dibuatnya. Dan perjanjian-perjanjian tersebut hanya berpihak kepada musuh Islam misalnya Kamal telah mengundurkan tentera di Syria ketika berhadapan dengan British, selepas itu British menguasai Syria.

 

Selain daripada Kamal Attarturk, pihak yang memainkan peranan secara langsung dalam meruntuhkan sistem Khilafah Islam ialah British. British memang sangat dengki dengan Islam dan mahu menjatuhkan negara Turki-Uthmaniyyah sebagai negara Islam dan meruntuhkan sistem Khilafah (dalam bahasa Inggeris : Caliphate). Sebelum kemunculan Kamal lagi, British telah meniup semangat patriotisme dan nasionalisme Arab dan nasionalisme Turki supaya perpaduan di kalangan umat Islam terpecah. Kemudian, para nasionalis yang mendokong idea ini menuntut kemerdekaan daripada Turki-Uthmaniyyah iaitu memisahkan wilayahnya daripada kesatuan negara Islam. Negara Turki-Uthmaniyyah yang besar itu kemudian dipecahkan oleh Barat menjadi Arab Saudi, Jordan, Mesir, Iraq, Lebanon dan negera-negara kecil lain dan Barat memerintah ke atas negara-negara tersebut melalui mekanisme ’pecah dan perintah ’(divide and rule). Setelah kesatuan umat Islam sudah melemah, target seterusnya ialah Turki dan Institusi Khilafah. Selepas Perang Dunia Pertama, 1921, di mana Turki telah kalah, British telah memfokuskan ketenteraannya di Turki iaitu pusat pemerintahan Dunia Islam demi memusnahkan seluruhnya kerajaan Islam. Pada masa yang sama, British di bawah pimpinanan General Harrington mengawal keadaan politik di Istanbul.

 

Mustapa Kamal Attartuk dan Gerakan Turki Muda dengan bantuan British telah mengadakan beberapa siri pemberontakan untuk memerdekakan Turki daripada Kerajaan Islam. General Harrington bekerjasama dengan Mustapa Kamal untuk menggulingkan Khalifah. Pada November 1922, Perhimpunan Kebangsaan atau National Assembly (seperti Majlis Syura’) di bawah pengaruh Mustapa Kamal pada mulanya cuba mengorak langkah untuk meruntuhkan Khilafah Islam. Mustapa Kamal memberi cadangan supaya memisahkan Sultan/Khalifah daripada Khilafah, dan kemudian memecat Khalifah. Perhimpunan Kebangsaan(PK) tidak memutuskan sendiri tetapi merujuk cadangan tersebut kepada sebuah suruhanjaya yang terdiri daripada para peguam dan ulama’. Setelah suruhanjaya berbincang dan merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah, mereka mendapati Khilafah tidak boleh diruntuhkan kerana ia merupakan pusat kehidupan umat Islam. Maka, suruhanjaya itu tidak setuju dengan cadangan Kamal dan menolaknya. Ketika itu, Kamal yang turut hadir pada perbincangan antara suruhanjaya dan Perhimpunan Kebangsaan tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan terus berdiri di atas kerusi seraya berkata ”…. Sultan mesti dipisahkan daripada Khilafah dan dipecat. Ini pasti akan berlaku pada kamu sama ada kamu suka atau tidak atau kepala-kepala kamu akan dipenggal!”. Kenyataan ini menakutkan ahli-ahli Perhimpunan Kebangsaan, ditambah lagi semua pengawal-pengawal yang mengiringi Kamal membawa senjata. Akhirnya PK perlu membuat keputusan melalui pengundian, tetapi Kamal telah menggunakan taktik kotor dan memutuskan bahawa PK telah bersetuju untuk memecat Khalifah, membubarkan sistem Khilafah, menjadikan Turki negara Republik dan dia sebagai Presidennya; walaupun hakikatnya majoriti tidak bersetuju. Ahli-ahli PK tidak berpuas hati dengan keputusan itu tetapi Kamal tidak mempedulikannya. British telah membekalkan senjata kepada pengikut-pengikut Mustapa Kamal untuk menentang sesiapa yang masih setia kepada Khilafah. Semua ahli politik dan ulama’ diberi amaran untuk dibunuh jika cuba menyokong Khilafah.

 Pada pagi 3 Mac 1924, Perhimpunan Agung Kebangsaan telah mengumumkan pembubaran Khilafah dan pemisahan agama Islam daripada Negara. Kamal Attartuk telah memerintahkan Khalifah terakhir, Khalifah Abdul Majed hendaklah meninggalkan Turki sebelum subuh. Kamal bersama polis dan tentera berhimpun di  istana Khalifah dan memaksa Khalifah memasuki kereta dan membawanya ke Switzerland. Dua hari selepas itu, Kamal Attartuk mengumpulkan semua waris Khalifah dan mengusir mereka keluar negara. Kesemua aktiviti keagamaan dimansuhkan, semua sekolah-sekolah agama ditukar kepada sekolah sekular, mahkamah Islam dimansuhkan dan undang-undang sekular dilaksanakan sepenuhnya. Akhirnya impian British untuk meruntuhkan Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah tercapai. Perjanjian Lausane yang diketuai oleh British mengiktiraf kemerdekaan Turki. Pada tahun yang sama, British membawa keluar semua tenteranya dari Turki. Lord Curzon, Perdana Menteri British pada masa itu berkata, ”…Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi kerana kita telah musnahkan kekuatan spiritualnya: Khilafah dan Islam. Begitulah secara ringkasnya bagaimana Khilafah Islam Turki-Uthmaniyyah diruntuhkan.

Wahai kaum muslimin!

Islam pasti akan bangkit…

ثُمَّ تَكُونُ خِلافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ»

………… Kemudian  akan (muncul) masanya ke-Khilafahan (yang bersandar pada manhaj Nabi.(riwayat Ahmad)

Rujukan… How The Khilafah was Destroyed . Abdul Qadem Zallum. 2000.

Insya’Allah ana akan bkongsi lebih byk input bersma…sila tegur sekiranya ada kesilapan… Jazakallah…

 

2 Comments

  1. kelemahan peribadi sultan dan zaman Tulip juga menjadi punca keruntuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah

  2. lawrence of arabia juga punca terkeluarnya negara suci jazirah arab iaitu sekarang arab saudi,berpunca kepada kelemahan islam sekarang sehingga barat menggelarkan agama samawi ini sebagai islamophobia.nauzubillahiminzalik……………


Comments RSS TrackBack Identifier URI

Leave a reply to salahuddin al firdausiah Cancel reply